About Me

My photo
Perak, Malaysia
practical , realistic sensitive

Thursday, December 31, 2009

2010

Tahun Baru datang lagi. Alhamdulillah . Harapanku semoga Allah akan terus memberkati dan merahmati kehidupanku ini. Sama seperti tahun-tahun sebelumnya aku tidak menyimpan dan menanam keazaman tertentu pada setiap kemunculannya. Kehidupan bagiku sesuatu yang realistik.. Setiap hari tidak membawa cerita yang sama justru kita menanganinya mengikut keperluan dan keutamaan semasa. Usaha untuk memperbaiki diri adalah sesuatu yang perlu dilakukan secara konsisten bukannya terhad sebagai resolusi pada awal tahun sahaja. Untuk itu aku berharap akan dapat memperbaiki kelemahan diri dari hari ke hari agar hari ini menjadi lebih baik daripada semalam kalaupun tidak mungkin ke tahap sempurna . InsyaAllah.

Monday, December 28, 2009

PMR 2009

Belum terlewat rasanya untuk aku mengucapkan tahniah kepada
para pelajarku yang telah memperoleh kejayaan
dalam peperiksaan PMR yang lalu. Alhamdulillah
usaha-usaha mereka telah diberkati oleh Yang Maha Esa ..
Sebagai guru , kejayaan anak-anak murid adalah sesuatu yang menggembirakan kerana mereka membuktikan kesungguhan masing-masing dalam persaingan sengit memperoleh kejayaan dalam pelajaran. Dalam zaman di mana sekian ramai pelajar di seluruh negara memperoleh gred terbaik setiap tahun tentulah aku berbangga dengan kejayaan anak-anak muridku ini. Aku sangat berharap agar mereka akan terus mempertingkatkan usaha yang jitu .. Semoga tidak leka dengan kejayaan yang diraih sebaliknya menjadikan keputusan yang cemerlang ini satu suntikan inspirasi bagi memperoleh kejayaan seterusnya.
Dalam hal-hal menuntut ilmu ini sesungguhnya aku sangat percaya kepada usaha individu dalam menentukan matlamat pembelajarannya. Justeru jika seseorang itu menyedari tugas dan tanggungjawab yang digalasnya sebagai seorang pelajar dia harus bijak merancang cara-cara untuk mencapai matlamat yang ditetapkannya sendiri. Tidak ada istilah paksaan untuk belajar malahan sangat sukar untuk memperoleh ilmu jika tidak lahir dari keinginan dan kehendak dari dalam diri sendiri .. InsyaAllah dengan usaha dan doa berterusan tidak ada yang mustahil untuk dicapai.

Saturday, December 26, 2009

Blog ini sudah lama tidak kujengah .. tidak sama sekali melupakannya, sekadar kesibukan-kesibukan semasa yang tidak putus-putus. Wajah baru yang kuberi pada blog ini kuharapkan akan menyuntik semangat dan inspirasi untuk terus menulis secara konsisten. Cuti persekolahan kali ini kurang sedikit keseronokannya lantaran harus menghabiskan final exam yang dirasakan sangat-sangat mencabar hinggakan aku tidak sanggup untuk meramal apa-apa. Berdoa sahaja agar aku lulus ketiga-tiga kertas sekaligus menamatkan pembelajaran selama hampir empat tahun ini .. itu saja.! Teman-teman ada yang bertanya tentang kemungkinan untuk meneruskan pembelajaran ke tahap yang seterusnya. Aku tidak berani untuk berkata apa2 jauh sekali untuk berjanji .. Banyak perkara yang harus kufikirkan .. apa-apa sekalipun keluarga harus menjadi keutamaan selepas hampir empat tahun sedikit sebanyak kuabaikan. Perkara-perkara lain itu kuserahkan sepenuhnya pada takdir yang telah tercatat dalam hidup ini . Segala sesuatu yang berlaku ada hikmah yang tersendiri.